Ibu ada diabetes, boleh ke menyusu bayi? Ini fakta tepat, memang selamat
30 June 2022
DIABETES semasa hamil atau disebut sebagai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) banyak berlaku dan ia antara perkara yang membimbangkan kerana boleh memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Apa yang lebih membimbangkan dan menjadi persoalan, adakah ibu dengan kondisi ini boleh menyusukan bayi mereka? Atau apa kesan kepada ibu dan anak jika terus menyusukan mereka?
Timbul juga kerisauan sama ada menyusu badan boleh menyebabkan si manja mendapat diabetes apatah lagi apabila penyakit itu boleh diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak.
Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Sunway Medical Centre Velocity (SMVC), Dr Nor Elyana Noordin berkata, walaupun seorang wanita hamil itu menghidap kencing manis, mereka boleh menyusukan bayi seperti biasa malah memberi pelbagai manfaat ke si ibu.
Jelas Dr Nor Elyana, proses penyusuan badan amat digalakkan kerana ia mampu membantu memperbaiki metabolisme gula si ibu.
“Ibu yang menghidap GDM dan menyusukan bayi mereka walaupun dalam tempoh yang singkat (sekurang-kurangnya tiga bulan) boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes, apatah lagi jika penyusuan itu diteruskan untuk tempoh lebih lama,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun kata Dr Nor Elyana, hamil dengan masalah GDM juga boleh mendatangkan risiko tinggi untuk mendapat penyakit lain seperti tekanan darah tinggi selain terdapat kemungkinan saiz bayi akan menjadi lebih besar dan kelahiran secara pembedahan caesarean perlu dilakukan.
Bukan itu sahaja, bayi yang ibunya menghidap kencing manis juga berisiko untuk mempunyai masalah seperti:
1. Masalah pernafasan selepas lahir
2. Kadar glukosa yang rendah
3. Kesukaran semasa bersalin di mana bahu bayi tersekat selepas kepala bayi keluar (salah satu sebab mengapa pembedahan caesarean dipilih sebagai cara kelahiran jika bayi besar)
4. Bayi lahir mati (stillbirth)
Menjelaskan lanjut mengenai GDM, Dr Nor Elyana berkata, ia boleh didiagnos ketika memasuki minggu ke 24 hingga 28 kehamilan dan berupaya dikesan dengan menjalani ujian air gula.
Jelasnya, hormon yang terhasil ketika hamil iaitu human placental lactogen (hPL), oestrogen dan cartisol memainkan peranan dalam pembentukan GDM.
“Hormon ini bertindak kepada uri dan membantu memastikan tahap glukosa mencukupi untuk perkembangan bayi. Apabila kehamilan semakin membesar, kadar hormon ini juga semakin meningkat.”
“Insulin pula membantu menyerap glukosa daripada darah ke dalam sel dan digunakan untuk penghasilan tenaga. Semasa hamil, rintangan insulin terjadi supaya lebih banyak glukosa tersedia dalam aliran darah untuk disalurkan kepada bayi.
“Jika rintangan insulin berlebihan, paras glukosa darah akan meningkat melebihi paras normal dan ini boleh menyebabkan penyakit diabetes semasa mengandung,” jelasnya.
Dr Nor Elyana memberitahu untuk jangka masa panjang, bayi yang ibunya menghidap diabetes mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit itu apabila mereka dewasa kelak.
Malah, kajian turut menunjukkan bayi yang ibunya menghidap diabetes berisiko dua kali ganda untuk mendapat diabetes mellitus tahap 1 (bergantung kepada insulin) di antara usia seawal baru lahir hingga 22 tahun.
Mereka yang berisiko untuk mendapat GDM ketika hamil adalah:
1. BMI melebihi 27 kg/m2
2. Ahli keluarga terdekat mempunyai sejarah penyakit diabetes
3. Mengalami glikosuria (gula dalam kencing) sebanyak 2 kali atau lebih
4. Sejarah bayi besar (makrosomia) dengan berat melebihi 4kg
5. Mempunyai sejarah kelahiran seperti (bayi lahir mati, bahu bayi tersekat atau ‘shoulder dystocia’ dan penyakit kongenital bayi seperti kecacatan tiub saraf atau ‘neutal tube defect’ dan kecacatan jantung)
6. Masalah obstetrik ketika mengandung seperti darah tinggi, penggunaan steroid, dan jumlah air ketuban yang banyak.
Untuk memastikan proses kehamilan dan bersalin berjalan lancar, Dr Nor Elyana memberitahu ibu mengandung perlu dipantau secara rapi termasuk dirujuk kepada pakar nutrisi bagi memastikan mereka mengambil makanan seimbang, berkhasiat dan jumlah kalori yang bersesuaian dengan keperluan badan mereka.
Golongan ini juga digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal selama 150 minit setiap minggu untuk mengurangkan rintangan insulin selain ia mampu memastikan pertambahan berat badan optimum, mengurangkan risiko darah tinggi ketika hamil, memperbaiki emosi dan meningkatkan kecergasan serta stamina ketika bersalin.
“Ini bukanlah bermakna ibu-ibu perlu berdiet kerana bayi masih memerlukan kalori untuk membesar. Apa yang penting ialah pemilihan makanan yang betul supaya kadar gula tidak naik dengan mendadak.
“Ibu-ibu yang tidak berjaya mengawal gula dalam darah seperti yang disyorkan akan memerlukan bantuan daripada oral hypoglycaemic agent iaitu ubat untuk menurunkan kadar gula dalam darah dan ada antara mereka yang memerlukan suntikan insulin,” katanya.
Penyusuan ketika Covid-19, bayi pramatang
Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Sunway Medical Centre Velocity (SMVC), Dr Hasmawati Hassan pula menjelaskan penyebaran maklumat kononnya ibu yang mengambil suntikan vaksin dan booster Covid-19 tidak sesuai menyusukan bayi mereka adalah karut.
Sebaliknya kata Dr Hasmawati, apabila ibu mengandung mengambil vaksin, sistem imuniti wanita menghasilkan antibodi terhadap virus Covid-19 dan akan diberikan kepada bayi dalam kandungan atau semasa menyusu mereka.
“Bayi akan mendapat antibodi dan bukannya virus atau vaksin. Ini sebenarnya akan menolong bayi tersebut melawan virus itu sekiranya dijangkiti.
“Sekarang juga boleh dilihat, kebanyakan ibu positif Covid-19 dan lengkap vaksinasi melahirkan bayi yang sihat. Ini adalah kerana bayi tersebut telah pun mempunyai antibodi terhadap virus itu,” jelasnya.
Tidak hanya itu, Dr Hasmawati turut memberitahu ibu yang positif dan mempunyai bayi berat kurang daripada 2.5 kilogram boleh menyusu anak secara Kangaroo Mother Care (KMC) atau sentuhan kulit ke kulit dengan mematuhi tatakerja (SOP) yang ditetapkan.
Ini adalah kerana kebaikan penyusuan susu ibu dan konsep KMC itu amat penting dan lebih baik dalam mengatasi kesan virus kepada bayi.
“Sekiranya ibu tinggal bersama bayinya di hospital, bayi yang kecil ini seeloknya diletak di dalam inkubator dan ibu hanya boleh mengambil bayi untuk penyusuan susu ibu dan melakukan Kangaroo Mother care. Ini adalah SOP untuk ibu yang positif Covid-19,” jelasnya.
Begitu juga dengan kelahiran pramatang, Dr Hasmawati menjelaskan ibu akan menghasilkan susu ibu pramatang yang cukup sesuai kerana kandungan protein dan antibodi dalam susu itu adalah tinggi dan cukup untuk membantu bayi yang dilahirkan pramatang.
Memandangkan bayi pramatang akan ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU), penyusuan ibu bergantung kepada keadaan bayi iaitu kestabilan, berat dan gestasi.
“Kebiasaanya, jururawat akan mengajar ibu cara untuk memerah susu dan memberi perahan susu (espress breastmilk) kepada bayi pramatang.
“Konsep ‘Family-centered care’ biasanya mengalakkan ibu bapa ada bersama dalam perawatan atau tinggal bersama bayi pramatang sepanjang berada di hospital,” katanya.
Kembali