4 Aspek Perkembangan Kanak-kanak

04 March 2021

by MyMetro
PERKEMBANGAN seseorang kanak-kanak itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya genetik, neurologi, fizikal, persekitaran dan emosi.
PERKEMBANGAN seseorang kanak-kanak itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya genetik, neurologi, fizikal, persekitaran dan emosi.

 

SETIAP kanak-kanak mengalami tahap perkembangan yang berbeza mengikut rentak mereka sendiri.

Secara amnya, perkembangan seseorang kanak-kanak itu dipengaruhi pelbagai faktor antaranya genetik, neurologi, fizikal, persekitaran dan emosi.

Begitupun, terdapat beberapa peringkat perkembangan yang ibu bapa perlu ambil perhatian demi untuk membesarkan seorang kanak-kanak dengan gembira dan sihat.

Pakar Perunding Neonatologis, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Hasmawati Hassan berkata, terdapat empat aspek penting peringkat perkembangan kanak-kanak iaitu motor kasar, motor halus dan visi, kelakuan dan pembangunan sosial serta pertuturan dan pendengaran.

 

Kata Dr Hasmawati, bagi setiap aspek itu, terdapat beberapa matlamat tertentu yang perlu dicapai seseorang kanak-kanak namun penting untuk diingati bahawa kadar perkembangan setiap individu adalah berbeza.

 

Menurutnya, pada fasa tahun awal kehidupan adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak kerana pengalaman awal itu membawakan perbezaan yang ketara dalam menentukan bagaimana sel-sel otak berkembang selain ia boleh mempengaruhi pembelajaran sepanjang hayat dan kesihatan mereka.

"Pemantauan perkembangan bermakna membuat pemerhatian dan memberi tumpuan terhadap cara-cara spesifik bagaimana anak kecil anda bermain, belajar, bercakap, bertindak dan bergerak setiap hari, secara berterusan," katanya.

Dr Hasmawati berkata, terdapat banyak aktiviti mempromosi perkembangan berlainan yang ibu bapa boleh lakukan bersama dengan anak-anak supaya mereka kekal terangsang dan dipenuhi dengan perasaan ingin tahu sekali gus belajar menerokai dunia di sekeliling.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh mencuba untuk menyanyi dan bercakap dengan si kecil menggunakan tona suara yang sengaja diperbesarkan dan memerhatikan ekspresi wajah untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas terhadap perbezaan bunyi suara itu dan ia akan membantu dalam pembangunan bahasa mereka.

"Untuk perkembangan dari segi visual, sosial dan emosi pula, ibu bapa boleh cuba menunjukkan refleksi bayi dalam cermin (yang selamat digunakan untuk bayi) dan bertanya bayi mereka, 'siapakah itu?'

"Ia boleh diulangi dengan si kecil itu sendiri atau dengan sesuatu yang mudah dikenali seperti alat mainan haiwan atau adik-beradiknya yang lain," katanya.

 

TERDAPAT beberapa peringkat perkembangan yang ibu bapa perlu ambil perhatian demi untuk membesarkan seorang kanak-kanak yang gembira dan sihat.
TERDAPAT beberapa peringkat perkembangan yang ibu bapa perlu ambil perhatian demi untuk membesarkan seorang kanak-kanak yang gembira dan sihat.

 

Dr Hasmawati berkata, ibu bapa juga perlu memberi tumpuan kepada beberapa tanda awal dalam peringkat awal perkembangan kanak-kanak dan aspek motor kasar misalnya, untuk memastikan kanak-kanak mampu berjalan bermula dengan kawalan kepala.

Pada usia enam bulan kata beliau, bayi harus mampu untuk duduk tanpa sokongan buat sementara waktu manakala pada usia sembilan hingga 10 bulan, mereka menarik sesuatu untuk berdiri seterusnya mampu untuk berjalan dari usia antara 12 hingga 14 bulan.

"Dalam aspek motor kasar ini, ibu bapa perlu awasi tanda amaran awal sekiranya bayi mereka gagal mengawal atau memusingkan kepala pada usia antara empat hingga enam minggu, gagal untuk bergolek menjelang usia lima bulan dan gagal untuk duduk menjelang usia 8 bulan.

"Selain itu, harus juga diberi tumpuan sekiranya bayi anda gagal untuk berdiri dengan sokongan menjelang usia 10 bulan atau gagal untuk berjalan menjelang usia 15 bulan," katanya.

Untuk aspek motor halus pula, Dr Hasmawati berkata, perkembangan bayi yang dapat memegang menggunakan dua jari adalah matlamat utamanya.

Ini kerana tangan seorang bayi baharu lahir akan kekal tergenggam sehingga bulan ketiga, dan mereka harus mencapai kemajuan secara berterusan dengan beralih kepada genggaman dua jari pada usia antara sembilan hingga 12 bulan.

"Antara tanda amaran awal yang harus diperhatikan adalah bayi masih menggenggam erat tangan selepas tiga bulan, 'abduction' dan fleksi ibu jari yang berterusan selepas tiga bulan serta tidak cuba untuk mencapai objek selepas lima bulan.

"Selain itu, perhatikan juga jika bayi anda berterusan menyebarkan jari ketika cuba mengambil sesuatu objek selepas usia lima bulan, masih menggenggam tapak tangan secara berterusan selepas sembilan bulan dan gagal memegang menggunakan dua jari dengan baik selepas setahun," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hasmawati berkata, bagi aspek kelakuan dan pembangunan sosial, ia adalah untuk menilai kebolehan bayi itu dalam berinteraksi dan bertindak balas kepada dunia sekitar mereka.

Ia merangkumi dari kegelisahan mereka terhadap orang yang tidak dikenali pada usia tujuh bulan, sehinggalah mampu meminum dari cawan pada usia 12 bulan.

"Untuk aspek ini, apa yang perlu diberi perhatian adalah sekiranya bayi senyap, tidak tersenyum atau ketawa, tiada tindak balas apabila nama mereka dipanggil dan tidak ada kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali ketika usia enam hinggga sembilan bulan.

"Pada usia sembilan hingga 12 bulan juga, ibu bapa perlu memberi tumpuan sekiranya bayi mereka masih mempunyai kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali dan tidak faham untuk melambai selamat tinggal," katanya.

Aspek pertuturan dan pendengaran pula adalah untuk memastikan kanak-kanak boleh bercakap, bermula dengan bisikan lembut, bertindak balas kepada bunyi dan kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata mudah secara lisan seperti 'mama' atau 'dada.'

Justeru, kata Dr Hasmawati, perbendaharaan kata kanak-kanak itu harus berkembang maju seiring dengan peningkatan usia mereka.

"Ibu bapa perlu memberi perhatian jika bayi tidak memberikan senyuman pada usia tiga bulan, tidak ada percubaan untuk ketawa pada usia enam bulan, tidak cuba bertutur dan tiada tindak balas kepada nama mereka pada usia enam hingga sembilan bulan atau masih senyap pada usia sembilan hingga 12 bulan.

 

PROGRAM intervensi awal membolehkan kanak-kanak mencapai potensi sepenuhnya.
PROGRAM intervensi awal membolehkan kanak-kanak mencapai potensi sepenuhnya.

 

"Jika ibu bapa mengesan sebarang tanda kemungkinan kelambatan dalam perkembangan anak seiring tahap usia mereka, dapatkan segera bantuan daripada pakar pediatrik atau neonatalogis," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Paediatrik SMCV, Dr Melanie Majaham berkata, adalah penting untuk bertemu pakar pediatrik secara berkala bergantung kepada umur bayi atau jika mereka menghadapi sebarang masalah perubatan.

Katanya, pada setiap lawatan, perkembangan si kecil akan dipantau untuk mengesan sebarang isu berkaitan seperti kadar peningkatan berat badan yang lemah atau masalah kegemukan.

"Doktor juga turut akan membincangkan butiran seperti frekuensi penyusuan, pelan penyusuan dan penanda jarak utama yang perlu dicapai bersama dengan ibu bapa.

"Temu janji yang tipikal biasanya disebabkan jadual pemvaksinan, tetapi lawatan akan menjadi lebih kerap jika ia membabitkan sebarang masalah perubatan atau ujian lain yang perlu dilakukan seperti ujian darah atau air kencing," katanya.

Seiring kemajuan yang dicapai dalam teknologi, kini terdapat berbagai jenis saringan, ujian dan rawatan yang boleh membantu kanak-kanak.

Ia termasuklah Ujian Saringan Pembangunan Denver, yang digunakan sebagai satu rujukan untuk memantau peringkat perkembangan itu dan juga skor M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers atau Senarai Pemeriksaan Diubah suai untuk Autisma dalam Anak-anak Kecil) untuk mengesan tanda-tanda awal Gangguan Spektrum Autisma, yang biasanya diberikan antara usia 16 hingga 30 bulan.

"Dr Melanie berkata, sebarang kebimbangan

perlu ditangani dan dibincangkan dengan ibu bapa kerana ada kes yang memerlukan penilaian lanjut oleh sepasukan pakar pelbagai disiplin seperti psikologi kanak-kanak, pediatrik pembangunan, terapi pekerjaan, terapi fisio serta terapi pemakanan dan pertuturan.

"Ia bagi membolehkan kanak-kanak berkenaan mendapat manfaat daripada satu program intervensi awal untuk membolehkannya mencapai potensi sepenuhnya," katanya.

   Kembali