Diabetes jenis dua

08 November 2020

by MyMetro
SUNTIKAN insulin untuk mengawal paras gula dalam badan.
SUNTIKAN insulin untuk mengawal paras gula dalam badan.

 

KAJI Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendedahkan, seorang daripada lima individu atau 3.9 juta orang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap kencing manis jenis dua (T2DM).

Prevalen ini meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015 dan separuh daripada mereka yang menghidap T2DM tidak didiagnosis.

Statistik ini mendapati, seorang dalam 20 (5.9 peratus) golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun, seorang dalam 10 (11.7 peratus) golongan berusia 30 hingga 39 tahun dan lebih 70 peratus pesakit tidak mengetahui mereka menghidap kencing manis.

Pakar Perunding Endokrinologi SMCV Dr Lim Kim Piow berkata, kebanyakan pesakit mempunyai gejala yang ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal penyakit.

Disebabkan itu, ramai mengabaikannya dan pesakit kencing manis tidak didiagnosis.

"Selain kencing manis, pesakit berisiko mengalami penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, 'dyslipidemia' (kadar lipid dalam aliran darah terlalu tinggi atau rendah) dan obesiti.

"Ia akan mempercepat komplikasi kencing manis seperti penyakit jantung, angin ahmar serta masalah buah pinggang.

"Senario ini agak membimbangkan kerana penyakit itu bukan sahaja agresif, malah pesakit muda berisiko mengalami komplikasi lebih teruk berbanding kencing manis jenis satu dan pesakit dewasa T2DM," katanya.

Beliau berkata, hampir separuh atau 41.9 peratus rakyat Malaysia hidup dengan paras gula tidak normal (dysglycemia).

"Ini kerana 18.3 peratus daripada mereka menghidap penyakit T2DM dan peringkat awal kencing manis (23.6 peratus).

"Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November ini, saya menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah dan menguruskan penyakit itu dengan baik," katanya.

 

METFORMIN salah satu ubat mengawal tahap gula lebih baik.
METFORMIN salah satu ubat mengawal tahap gula lebih baik.

 

Dr Lim berkata, pilihan makanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal dan mengurangkan berat badan boleh membantu mencegah T2DM, meskipun ada sejarah keluarga menghidap penyakit berkenaan.

"Jika didiagnosis menghidap penyakit kencing manis, gaya hidup sihat perlu diamalkan bagi mengawal paras gula dalam darah.

"Perubahan gaya hidup ini boleh memperlahankan penyakit kencing manis daripada menjadi teruk," katanya.

Menurutnya, selain mengamalkan gaya hidup sihat, pengambilan beberapa jenis ubat seperti 'Metformin', 'Dipeptidyl peptidase-4 inibitor (DPP-4i)', 'Sulphonyurea', 'SGLT2 inhibitor' dan 'a-glucosidase inhibitor' berupaya mengawal tahap gula yang lebih baik.

"Namun kesan ubat-ubatan ini terhadap pesakit adalah berbeza dan perlu dipertimbangkan.

"Pengambilan semua ubat ini perlu dengan pemantauan pakar klinikal bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini," katanya.

   返回