Asap rokok punca asma jadi lebiih teruk
31 March 2021
PENYAKIT asma yang membabitkan radang sistem saluran pernafasan bukanlah berpunca sejak lahir.
Namun, ia akan menjadi lebih teruk apabila pesakit terdedah kepada pencetus atau perangsang sehingga menyebabkan sistem saluran pernafasan akan menjadi bengkak dan menghasilkan lendir.
Sekiranya ia berlaku, saluran akan menjadi sempit dan menyebabkan mereka sukar untuk bernafas.
Pakar pediatrik, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Melanie Majaham, berkata faktor persekitaran berperanan penting sebagai pencetus untuk kanak-kanak yang menghidap gejala asma.
"Apabila kanak-kanak itu terdedah dengan faktor pencetus seperti jangkitan virus, debu, asap rokok, perubahan cuaca dan sesetengah makanan, asma boleh menyerang.
"Memandangkan gejala asma boleh berlaku berulang, ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak itu menjauhkan diri daripada faktor pencetus.
"Biarpun sukar mengawal pencetus apabila kanak-kanak berada di luar rumah, ibu bapa perlu memberi perhatian penuh keadaan persekitaran di rumah," katanya.
Dr Melanie berkata, kanak-kanak bukan sahaja perlu mengelakkan asap rokok, tetapi habuk yang mungkin melekat pada baju perokok.
"Sebaiknya, perokok yang baru pulang ke rumah perlu membersihkan diri dan pakaian sebelum bersama dengan anak," katanya.
Kesan jangka panjang
5.8 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia dalam lingkungan umur 6 hingga 7 tahun adalah penghidap asma.
Penyakit asma adalah disebabkan pelbagai faktor termasuk unsur genetik dan persekitaran.
Sekiranya ibu atau bapa mempunyai asma, risiko untuk anak itu menghidap asma adalah antara 25 hingga 50 peratus.
Dr Melanie berkata, pengambilan ubat pencegah, pelega dan menjauhkan diri daripada faktor pencetus perlu diambil serius supaya tidak memberi kesan jangka panjang kepada pesakit.
"Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kanak-kanak berkenaan tidak boleh membabitkan diri dalam aktiviti sukan seperti berkhemah yang berkemungkinan mampu memberi kesan kepada perkembangan sosial mereka," katanya.
Di samping itu, terdapat cara alternatif untuk mengurangkan serangan asma seperti perubahan diet, probiotik dan penggunaan penapis udara di rumah.
Kata Dr Melanie, keberkesannya tidak dijamin namun sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan serangan asma apabila pesakit berada dalam keadaan persekitaran sekeliling yang bersih.
Tapis habuk dan partikel kecil
Pelbagai jenis penapis udara boleh didapati di pasaran namun tidak semua mampu menapis habuk dan partikel kecil yang menjadi pencetus serangan asma.
返回